Pages

Friday 5 August 2011

Kek dan Biskut Sarawak Halal

DEWAN Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) memberi jaminan produk roti bun dan biskut yang  dikeluarkan oleh usahawannya disahkan halal kerana tiada produk 'Golden Churn Creamy Butter' digunakan.


Presiden DUBS Datuk Abang Helmi Ikhwan berkata bumiputera yang mengusahakan roti bun dan biskut yang membekalkan makanan itu ke sekolah dan pejabat kerajaan tidak pernah menggunakan produk tersebut kerana harganya yang mahal dan akan mempengaruhi harga sebenar roti bun serta biskut.

"Bagi kek lapis pula, hasil tinjauan semalam bersama dengan Persatuan Pengilang Bumiputera Sarawak (Pengasas), kita dapati majoriti pengusaha kek lapis di sini tidak menggunakan 'Golden Churn Creamy Butter' kerana harganya yang mahal," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata hanya segelintir pengusaha yang pernah menggunakan produk tersebut tetapi menghentikannya serta-merta kerana faktor haram dan kos yang tinggi.

"Ada yang telah mengambil tindakan untuk menyamak peralatan yang mereka gunakan agar tiada keraguan di pihak pengguna," katanya.

Bagaimanapun, Abang Helmi mengakui industri kek lapis Sarawak bakal menerima impak yang besar terutama sekali jumlah jualan berikutan pengesahan 'Golden Churn Creamy Butter' sebagai haram kerana mengandungi DNA babi.

"Setakat ini terlalu awal untuk membuat penilaian sebenar dan ini hanya dapat dipastikan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak," katanya.

Mengenai kekeliruan yang bakal dihadapi berikutan produk tersebut yang tidak disahkan sebagai haram di Singapura dan Brunei, beliau berkata adalah terbaik bagi usahawan negeri ini untuk mematuhi segala arahan daripada kerajaan bagi mengelak sebarang kerugian.

Presiden Pengasas Dawi Abd Rahman berkata pengguna tidak perlu bimbang dengan status halal yang dimiliki oleh anggota persatuan berkenaan.

Beliau berkata sijil halal itu dikeluarkan kepada mereka oleh Jabatan Agama Islam Sarawak dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

No comments:

Post a Comment