Pages

Thursday 4 August 2011

PEMANDU TEKSI BANTU GOLONGAN TUA

KUALA LUMPUR, - Abdullah Noel, 40, hanyalah seorang pemandu teksi. Namun kewangan yang terbatas bukanlah penghalang bagi beliau melakukan kerja kebajikan yang cukup besar, sehinggakan mereka yang lebih berkemampuan boleh tertunduk malu.

Beliau dan isterinya, Siti Noraini Chelladurai, 37, memeluk Islam pada September 2009. Tidak sampai sebulan selepas itu, dengan hanya berbekalkan iman yang kuat dan ‘kudrat’ yang terhad, pasangan saudara baru ini menubuhkan sebuah rumah kebajikan untuk menjaga golongan bapa tua yang dipinggirkan keluarga.

Pusat Jagaan Siti Noraini, yang dinamakan sempena isteri Abdullah, adalah berdaftar dan diiktiraf oleh hospital kerajaan. Ia terletak di Taman Maju, Kajang, Selangor dan hanya menerima golongan bapa tua yang berpenyakit kronik dan diabaikan anak serta saudara.

Kini terdapat 23 penghuni yang berumur antara 39 dan 84 tahun di rumah jagaan itu.  Mereka ditinggalkan di hospital berbulan-bulan lamanya, mungkin kerana tidak mampu atau keluarga tidak lagi mahu menjaga mereka, yang akhirnya mereka dihantar ke Pusat Jagaan Siti Noraini oleh pegawai kebajikan.

"Ada juga yang dihantar oleh keluarga, namun jarang sekali mereka ini dilawati selepas itu," kata Abdullah ketika ditemubual Bernama.

Bukanlah mudah hendak menjaga orang tua, lebih-lebih lagi bagi Abdullah dan isterinya yang mempunyai empat orang anak dan seorang bayi angkat berumur tujuh bulan.

"Mengenai bayi ini, ia ditinggalkan oleh ibu bapanya di sini ketika berusia tiga hari," kata Abdullah.

Selain berpenyakit kronik, ada juga penghuni yang lumpuh dan mengalami sawan, yang sudah tentu tidak mudah untuk menjaga mereka.  


Namun Abdullah dan isteri berkongsi tenaga menjaga terutama dalam rutin harian seperti makan dan mandi. Mereka mempunyai hanya seorang pembantu dari Sri
Lanka, yang juga seorang saudara baru.

Dengan kos sewa rumah dan utiliti yang semakin meningkat, Abdullah berkata mereka terpaksa berusaha lebih keras untuk memastikan segalanya dapat dibayar.

"Sewa rumah ini sahaja sudah RM700. Kadang-kadang kami dapat bayar, kadang-kadang berhutang sementara. Bil elektrik pula dahulunya sekitar RM1,000 sebulan. Tapi dengan kenaikan tarif, kini ia mencecah RM1,400 sebulan.

"Kami juga menanggung kos lain seperti makanan, barang dapur dan rumah serta ubat-ubatan, yang berjumlah kira-kira RM20,000 sebulan," katanya.

Dalam usaha untuk meringankan beban itu, Abdullah dan isteri sedang mengumpul dana untuk membeli rumah berkenaan dengan harga RM330,000.

Satu majlis berbuka puasa bertujuan untuk mengumpul dana bagi pusat jagaan itu akan diadakan pada Sabtu, 6 Ogos ini di dewan Masjid Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Bangi.

Objektif majlis itu adalah untuk mengumpul sekurang-kurangnya 10 peratus daripada kos rumah itu iaitu RM33,000.

Majlis itu akan bermula dari pukul 6 petang dengan satu ceramah oleh Sheikh Waleed Abdul Hakeem, yang ditaja oleh Institut AlMaghrib.

Harga tiket ialah RM60 (biasa) dan RM100 (VIP).  Sebarang pertanyaan boleh hubungi Fakhri Hamzah di talian 012 281 6364, Jamilah Samian (012 201 5352), Zuhri Yuhyi (012 289 5653), Amar Razali (013 399
8837), PM Dr Hanim Salleh (019 238 8032), PM Dr Norita Mohd Norwawi (019 575 7727), Alia Nadhirah (019 369 5265) atau Mohd Azim (012 641 9466).

Mereka yang tidak dapat menghadiri majlis itu masih boleh memberi sumbangan cke Pusat Jagaan Siti Nor Aini melalui akaun CIMB Islamic Bank nombor 1267-0000233-10-1.  Abdullah dan isteri juga boleh dihubungi di talian 010 253 6750.

Majlis ini dikelolakan bersama oleh beberapa institut dan kumpulan iaitu Institut AlMaghrib ILuvIslam.com, Mercy Mission, Uniten, Young Muslims Project, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Cawangan CUCMS) dan Kolej Ikram di Kajang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment